Monday 2 May 2016

3 Rahsia Allah

No comments:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Semoga anda berada dalam keadaan sihat dan berada di bawah lindunganNya. Hari ini Squad Hijrah ingin berkongsi tentang '3 RAHSIA ALLAH'. Kehidupan kita sebagai makhluk...tidak semua Allah curahkan pengetahuanNya kepada kita, ada yang dirahsiakan. Setiap rahsia itu pasti ada hikmahnya yang tersendiri.

Apakah rahsia itu?

1. Jodoh

Tiada siapapun yang tahu siapa jodoh kita, dari mana dia, tinggi atau rendah. Semakin dalam kita memikirkan tentang jodoh kita, semakin pening dan lostlah kita mungkin juga boleh frust. Jodoh adalah rahsia Allah yang ditutup rapat-rapat. Jika kita menginginkan jodoh yang baik, soleh atau solehah kitalah yang perlulah jadi baik, soleh atau solehah terlebih dahulu kerana lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik begitulah juga sebaliknya. Jadi kita perlulah sentiasa banyakkan doa dan yakin bahawa Allah akan memberikan jodoh yang terbaik untuk kita. Sedekahkanlah al-fatihah dan doa yang terbaik buat bakal jodoh kita walau kita tidak tahu siapa kah gerangan yang bakal menjadi jodoh kita kelak.

Kenapa Allah rahsiakan?

Sebab kalau kita tahu siapa jodoh kita awal-awal, kita mungkin akan tolak, tak suka, tak nak dan sebagainya. Allah mahu hambaNya berusaha mencari pasangan hidup, dalam pencarian itu pasti ada liku-likunya. Mungin kita akan jumpa jodoh yang salah dahulu daripada situlah kita akan belajar untuk perbaiki kesilapan dan jadi lebih baik.

2. Rezeki

Rezeki Allah itu sangat luas tetapi menjadi rahsia. Ada orang yang kurang sempurna tubuh badannya tetapi boleh buat banyak kerja. Ada pula orang yang sempurna tubuh badannya tetapi satu kerja pun tak boleh buat. Contoh bagi seorang pelajar pula, ada sahabat kita yang fokus dalam kelas, buat ulang kaji tapi keputusannya suam-suam kuku saja. Ada pula sahabat kita yang kurang fokus dalam kelas tapi keputusannya hebat. Rezeki kita, Allah yang tentukan. Yakinlah, orang yang berusaha tanpa putus asa, pasti berjaya. Hidup susah itu bukan selamanya. Orang yang bijaksana belajar daripada kesilapan. Orang yang bersyukur tenang hatinya. Rezeki itu rahsia Allah. Apa yang kita dapat hari ini adalah yang terbaik daripadaNya untuk kita.

Janganlah bandingkan atau lihat diri kita dengan orang yang lebih bernasib baik daripada kita tetapi lihat dan bandingkanlah diri kita dengan orang yang kurang bernasib baik daripada kita agar kita sentiasa bersyukur. Salah satu cara untuk menjemput rezeki adalah dengan bersedekah.

3. Ajal maut

Sakit bukanlah faktor utama seseorang itu meninggal dunia. Ada orang yang sihat tubuh badan, cergas tetapi meninggal dalam tidur. Ada pula orang yang sakit kronik, tapi dengan izinNya dia masih hidup bertahun-tahun. Kanak-kanak kecil lagi sudah meninggal dunia juga kita biasa dengar. Ingatlah bahawa setiap yang hidup itu pasti akan merasai mati. Janganlah terlalu yakin bahawa 1 saat selepas ini kita akan hidup kerana mati itu tidak akan terlambat atau tercepat walau 1 saat. Memikirkan kematian dan dosa saja boleh membuatkan kita insaf kerana syurga dan neraka itu benar. Oleh itu, kita perlulah berusaha untuk menjaga kesihatan kita dan beribadat kepadaNya dengan bersungguh-sungguh selagi hayat di kandung badan.

Kehidupan yang dipinjamkan Allah untuk sementara waktu ini hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin kerana pastinya ajal akan menjemput di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Semoga kita semua diberikan pengakhiran  yang terbaik di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment

 
back to top